Sunday, August 9, 2009

Gadis ditikam, disimbah asid selepas dirogol
GUA MUSANG 9 Ogos - Seorang lelaki ditemui mati setelah bertindak kejam - memperkosa, menikam dan kemudian menyimbah asid untuk membunuh anak tirinya di sebuah ladang getah dekat sini hari ini.
Kerana terlalu takut perbuatannya terbongkar, lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai meminum asid. Mayatnya kemudiannya ditemui oleh penduduk kampung.
Gadis malang berusia 15 tahun itu kini kritikal. Dia dirawat di Hospital Kuala Krai sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini lewat petang ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Supritendan Aziz Hasan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 ketika penoreh getah itu yang memboncengkan mangsa menaiki motosikal dalam perjalanan ke bandar Gua Musang.
Bagaimanapun, lelaki itu menukar haluan menuju ke Aring 6 dan singgah di sebuah ladang sebelum merogol mangsa.
Beliau berkata, selepas merogol anak tirinya, lelaki itu bertindak menikam dan menyimbah asid di tubuh mangsa.
"Perbuatannya itu disedari oleh penduduk kampung lalu bergegas untuk menyelamatkan mangsa dan lelaki terbabit terus bertindak meminum asid dan meninggal dunia tidak lama kemudian.
"Penduduk kampung berusaha membawa mangsa untuk mendapat rawatan di klinik kesihatan berdekatan," katanya.
Kata Aziz, penduduk kampung kemudian menghubungi polis kira-kira pukul 1 petang yang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit dipercayai mati selepas meminum asid.
"Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah dekat sini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal," ujarnya.