Jangan bawa anak ke tempat terbuka elak jangkitan H1N1 - Exco
Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Sun Aug 09, 09 6:48:35 pm MYT
KOTA BHARU, 9 Ogos (Hrkh) - Ibubapa dinasihatkan supaya mengkuarantinkan anak-anak sebagai langkah awal mengelak jangkitan virus influenza A (H1N1) yang kini semakin kronik melanda negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Hajah Wan Ubaidah Omar berkata, walaupun kerajaan belum mengisytiharkan peraturan itu, namun demi kebaikan keluarga ada baiknya ibu bapa bertindak awal.
"Memandangkan keadaan penyakit H1N1 tiada tanda tanda semakin terkawal, ibubapa seharusnya mengawal ahli keluarga daripada menghadiri tempat terbuka.
"Elakkan membawa anak-anak ke tempat terbuka kerana bimbang dengan peningkatan kes tersebut sekarang," ujarnya selepas merasmikan Hari Keluarga dan Kesihatan Desa Taqwa Bechah Mulong, baru-baru ini.
Hari ini Menteri Kesihatan Dato' Seri Liow Tiong Lai dilaporkan memberitahu lapan lagi kematian akibat H1N1 yang kini sedang menular di 26 negara.
Sedangkan semalam 18 orang disahkan menjadi korban H1N1 dan jumlah jangkitan kepada 1,578 kes.
Wan Ubaidah turut mengingatkan ibubapa supaya segera membawa anak-anak ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan yang menyeluruh sekiranya terdapat tanda-tanda awal dijangkiti virus berkenaan.
Sempena program berkenaan turut diadakan pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Ketereh.
Sementara itu Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh mencadangkan Pusat Kesihatan Ketereh menjadikan kampung berkenaan sebagai kampung angkat bagi meningkatkan tahap kesihatan penduduk.
"Walaupun masyarakat kampung kini semakin celik masalah kesihatan, namun kajian tahap kesihatan penduduk perlu dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Turut hadir pada majlis berkenaan anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Presiden Pertubuhan Bimbingan Insan Kelantan, Ustaz Rosli Abdul Samad. - mj _
Harakah